Monday, February 16, 2009

Bila Komputer Riba Ganti Buku Teks


Pada 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:1. Datuk Alimuddin berkata, projek itu satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Maknanya, dengan penggunaan e-Buku, pencapaian pendidikan di Terengganu akan melonjak.2. Bagaimanapun beliau difahamkan ia agak mahal. Jadi, Kementerian Pelajaran akan melihat dahulu bagus atau tidaknya penggunaan e-Buku ini. Jika bagus, kata Datuk Alimuddin, kementerian akan mempertimbangkan penggunaannya untuk masa depan.3. Datuk Alimuddin juga berkata, keberkesanan projek itu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan sebaik ia mula digunakan oleh murid darjah lima di Terengganu Mei ini. Maknanya, dalam tempoh dua tiga bulan saja sudah dapat dilihat lonjakan hasil penggunaan projek itu.4. Kementerian juga, kata Datuk Alimuddin, turut melihat projek e-Buku sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.5. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pula berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Bagaimanapun laporan itu tidak menyebutkan kilang itu milik dan diusahakan oleh siapa.6. Beliau juga berkata, seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Pelajar sekolah menengah di negeri itu diberitahu akan menerimanya pada fasa kedua.7. Datuk Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta setahun bagi projek itu. "Setiap komputer yang dibekalkan berharga kira-kira RM1,300 dan kita akan pastikan setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima e-Buku sebelum mengedarkannya ke negeri lain," katanya. Datuk Ahmad berkata beberapa buah negeri telah menunjukkan minat untuk melaksanakan e-Buku dan membeli komputer dari Terengganu.Saya percaya ramai ibu bapa tidak menentang penggunaan e-buku, komputer peribadi (PC) ataupun komputer riba di sekolah sama ada untuk tujuan pengurusan mahupun pengajaran dan pembelajaran. Malah kita mengalu-alukan penubuhan makmal komputer di sekolah untuk mengajar anak-anak kita menggunakan alat dan teknologi berkenaan. Ia sesuai dengan kata-kata Saidina Umar supaya kita mengajar anak-anak kita sesuai dengan zaman mereka.Bagaimanapun, apabila komputer riba hendak diberikan kepada setiap pelajar bagi menggantikan buku sekolah, saya ada sedikit 'reservation'. Ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya:1. Benarkah penggunaan komputer riba atau dalam konteks lebih luas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu melonjakkan pencapaian pelajar? Maknanya, pelajar yang tidak pernah mendapat Gred A sebelum ini, tetapi dengan penggunaan ICT, boleh mendapat Gred A bagi semua subjek atau jika tidak pun, banyaklah subjek yang mendapat Gred A. Adakah begitu?Seorang bekas pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran pernah berkata kepada saya bahawa penggunaan ICT memang terbukti berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan seperti dalam pembayaran gaji kerana kerja yang selama ini dibuat oleh lima enam orang, dengan kemudahan ICT, boleh dikendalikan oleh seorang saja. Tetapi, katanya, belum ada kajian menunjukkan penggunaan ICT boleh meningkatkan atau melonjakkan pencapaian akademik pelajar. Maknanya, belum ada testimoni menunjukkan dengan penggunaan komputer atau ICT, pelajar tercorot melonjak pencapaiannya!2. Komputer riba itu dilaporkan berharga kira-kira RM1,300 sebuah. Dengan peruntukan RM30 juta setahun, bermakna seramai 23,077 pelajar di Terengganu akan menerima komputer riba setiap tahun. Terengganu mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan peruntukan itu kerana ada banyak duit, terutama royalti minyak. Tetapi bagaimana negeri lain yang dikatakan berminat untuk mengikut jejak Terengganu itu? Jika Kementerian Pelajaran hendak meniru projek itu, kita perlu ingat ketika ini kita ada kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Maknanya, kita memerlukan RM8.5 bilion untuk tujuan itu saja. Atau kita mulakan dengan murid tahun satu saja. Jika setiap tahun 420,000 murid masuk tahun satu (ambil statistik tahun ini), kementerian perlukan RM546 juta setahun itu. (Tahun ini kementerian itu dilaporkan membelanjakan RM180 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks).3. Jika komputer riba yang diberikan kepada pelajar itu rosak, siapa akan menanggung kos penyengaraannya? Kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran atau pelajar dan ibu bapa sendiri? Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada peruntukan RM30 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu itu meliputi kos penyenggaraan. Jika kementerian laksanakan program itu, sanggupkah kementerian memikulnya? Kita ada 5 juta pelajar!Saya ragu-ragu jika ibu bapa pelajar sendiri yang perlu menanggungnya. Mungkin ramai yang tidak kisah kerana komputer riba pun dah percuma. Cuma kita lihat, dalam keadaan sekarang, walaupun buku teks percuma diberikan kepada semua pelajar, yuran khas RM4.50 seorang (di sekolah) dan RM9.50 seorang (di sekolah) dah dimansuhkan, nak bayar yuran tambahan sebanyak RM20, RM30 atau RM50 setahun bagi satu keluarga kepada PIBG pun ada riuh rendah satu negara. Ada pengetua kata, termasuk yang buat riuh rendah tu, pegawai pendidikan sendiri! Jadi, bagaimanalah agaknya jika ibu bapa macam tu kena keluarkan duit kocek sendiri untuk penyenggaraan komputer riba itu?4. Benarkah keberkesanan projek itu dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan? Keberkesanan dari segi apa? Dari segi kemahiran pelajar menggunakan komputer riba itu sewaktu pembelajaran atau dari segi lonjakan pencapaian pelajar dalam pelajaran? Kalau yang pertama mungkin, tetapi yang kedua, saya tak pasti!Saya dapati kita di Malaysia terkenal dengan projek perintis yang pantas ini. KBSR misalnya, dicuba setahun, kemudian tahun berikutnya, terus dilaksanakan di seluruh negara. Begitu juga apabila subjek Sains diperkenalkan semula di sekolah rendah menggantikan Alam dan Manusia, selepas setahun dibuat projek rintis di beberapa sekolah, tahun berikutnya terus dilaksanakan di seluruh negara. PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) lagi hebat, tanpa sebarang projek perintis, terus dilaksanakan di seluruh negara.5. Bolehkah ia menyelesaikan masalah beg berat? Rupa-rupanya isu ini masih belum selesai sejak ia hangat diperkatakan dan dilaporkan dalam media massa pada zaman Tan Sri Sulaiman Daud menjadi menteri pendidikan kali kedua. Isu yang sama juga timbul zaman Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Mohamed memegang portfolio yang sama. Ya, mungkin menggantikan buku teks tetapi untuk atasi masalah beg berat, saya rasa bergantung kepada berapa berat komputer riba yang nak dipikul oleh pelajar nanti, terutama murid tahun satu! Saya bimbang masalah beg berat tak selesai, timbul masalah lain pula. Maklumlah, alat elektronik – sensitif. Silap pikul, jatuh beg atas jalan, dibuatnya tak boleh berfungsi, dah timbul masalah lain pula. Nak baiki, siapa nak tanggung kosnya? Atau boleh dapat ganti yang baru? Sekarang, jika buku teks rosak atau hilang, ibu bapa kena bayar. Jika komputer komputer riba tu rosak atau hilang, macam mana?6. Benarkah program e-Buku ini untuk melonjakkan kecemerlangan akademik dan mengatasi masalah beg berat, atau ada agenda lain? Sekarang ini pun ada banyak makmal komputer yang dibina dan dibuka di sekolah yang tak dapat berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan komputer peribadi dan LCD projector yang dibekalkan kepada guru, berapa ramai yang menggunakannya sewaktu pengajaran? Bagaimana pula dengan LCD projector yang dipasang dalam kelas, tak memadaikah untuk pengajaran?Saya rasa soal lonjakan pendidikan, tidak ada kaitan dengan penggunaan buku teks atau tidak. Yang pentingnya bagaimana kita mendorong anak-anak kita tekun belajar. Adakah ibu bapa sendiri jelas tujuan mereka menghantar anak-anak ke sekolah? Dan adakah mereka juga memastikan anak-anak mereka jelas tujuan itu? Adakah sekolah dan guru-guru menjadi faktor yang berjaya menarik pelajar untuk datang ke sekolah setiap hari dan pendorong untuk pelajar tekun belajar?

Monday, February 2, 2009

Kenangan DpliUKM-09


280 pelajar DPLI kini terdesak apabila tajaan ditarik balik

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

SEBAHAGIAN daripada 280 pelajar DPLI menunjukkan surat tawaran kursus yang kini meletakkan mereka dalam dilema selepas mendakwa kos tajaan pengajian ditarik balik.


Ada antara mereka sanggup berhenti kerja bergaji besar semata-mata mahu mengejar impian menjadi guru setelah menerima tawaran Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).
Bagaimanapun, selepas dua minggu mengikuti kelas, 280 pelajar DPLI sesi kemasukan Januari 2009 itu kecewa apabila dimaklumkan Kementerian Pelajaran membatalkan tajaan berjumlah hampir RM21,000 seorang secara tiba-tiba.

Lebih membuatkan pelajar pelbagai pengkhususan sesi Januari 2009 itu berang ialah surat pemberitahuan pembatalan itu dimaklumkan hanya menerusi satu kiriman e-mel.
"E-mel daripada Kementerian Pelajaran diterima oleh pihak fakulti pada 13 Januari lalu dan kami jadi panik sebab ramai bergantung pada wang tajaan itu untuk belajar,'' kata jurucakap kumpulan pelajar itu, Muhammad Nizam Che Hasan pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Muhammad Nizam, mereka yang terlibat bukan datang dari sebuah universiti sahaja tetapi melibatkan hampir keseluruhan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Antara IPTA yang terbabit ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).
Kata Muhammad Nizam, kemarahan mereka ada asasnya kerana kesemuanya telah menjalani proses kelayakan termasuk temu duga malah surat tawaran penajaan program khas DPLI diterima pada 15 Disember lalu.

PPSMI – Antara yang emosional dan rasional

Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Emosional. Itu persepsi sesetengah pihak bila melihat cara dan mendengar hujah pihak tertentu yang menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semasa Persidangan Meja Bulat PPSMI kelima.
Sebenarnya tidak perlu mengutarakan hujah dengan nada suara yang keras, mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ugutan. Saya memuji wakil Parent Action Group For Education (PAGE) yang mengemukakan hujah dengan tenang. Yang penting bukan nada suara yang keras, tetapi hujah yang disokong fakta yang kukuh.
Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tujuan siri persidangan meja bulat diadakan adalah untuk menyediakan seluas-luas platform untuk semua pihak mengemukakan pandangan dan bukan untuk membuat sebarang resolusi. Jadi tidak perlu kita membentak-bentak dan memaksa-maksa pandangan kita terhadap peserta lain. Tidak perlu menipu dan tidak perlu menuduh dengan tuduhan yang direka-reka.

Seorang profesor, misalnya, mengatakan bahawa PPSMI tidak memberikan sebarang kesan positif terhadap pencapaian pelajar selepas enam tahun pelaksanaannya sedangkan sewaktu beliau berhujah demikian, tiada sebarang kajian atau data yang dirujuk. Rasionalkah beliau?
Bagi saya, kenyataan itu lahir akibat beliau terbawa-bawa oleh emosi. Dari segi logik dan kebiasaan, semakin terdedah seseorang kepada sesuatu, maka semakin mudah seseorang menguasainya. Tidak mungkin kenyataan ini keluar jika beliau merujuk kepada fakta.
Dari segi fakta, pembentangan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd Dom mengenai analisis UPSR menunjukkan bahawa masa dedahan yang lebih terhadap bahasa Inggeris (BI) menyebabkan pertamanya, tahap keyakinan pelajar untuk menjawab soalan dalam BI semakin meningkat; keduanya, pencapaian pelajar dalam mata pelajaran BI juga meningkat.
Seorang bekas pegawai KPM pula menuduh seolah-olah KPM memanipulasi keputusan UPSR dan menurut cerita pihak tertentu beliau juga turut mengatakan bahawa “dahulu kita juga membuat perkara yang sama.” Hakikatnya bukan mudah untuk memanipulasi keputusan peperiksaan awam kerana standardnya turut ditentukan oleh pihak luar dan jika sebarang pengubahan dibuat, ia bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan pelajar tahun tersebut, malah beberapa tahun yang akan datang.
Rasionalnya; beliau tahu realiti ini dan beliau tahu tidak mudah melakukannya. Malangnya beliau terperangkap dengan emosi untuk menentang dasar PPSMI sehingga sanggup menuduh yang bukan-bukan.
Bagi saya, jika suatu masa dulu, sebagai pegawai KPM beliau gagal berpegang kepada integriti, kenapa sekarang kita perlu menyakini integriti beliau dalam membentangkan sebarang kajian? Tidakkah ada kemungkinan beliau memanipulasi data semata-mata untuk menyokong pendirian beliau?
Satu lagi tindakan yang boleh dianggap emosional adalah apabila sebuah organisasi yang kononnya mewakili sekitar 350,000 orang guru, mendakwa bahawa guru sebulat suara menolak PPSMI. Kenyataan ini disangkal keesokan harinya oleh kesatuan guru yang lain, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Lebih memalukan bukan sahaja kenyataan majlis tersebut dipersoalkan malah mandat bahawa ia benar-benar mewakili golongan guru dan statusnya turut dipertikaikan.
Apabila ada pihak berhujah bahawa subjek sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda untuk memastikan anak-anak kita berjaya menguasai subjek tersebut dengan lebih baik, adakah hujah ini rasional?
Sedangkan kita menyedari sebelum adanya PPSMI, di sekolah kebangsaan (SK) ramai anak-anak etnik bumiputera selain Melayu dan kaum bukan Melayu yang mempelajari kedua-dua subjek ini dan subjek-subjek lain di dalam bahasa kebangsaan; bukan bahasa ibunda mereka, tetapi mereka masih dapat menguasainya dengan cemerlang?
Adakah kita lupa bahawa subjek seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun dan Perdagangan diajar dalam bahasa kebangsaan, tetapi masih ada anak-anak kita yang gagal dan gagal menguasai subjek-subjek ini.
Bukankah anak-anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga ada yang cemerlang walaupun dipaksa mempelajari semua subjek kecuali Bahasa Melayu di dalam bahasa Mandarin.
Rasionalkah? Sedangkan ada pihak yang berhujah bahawa Mandarin bukan bahasa ibunda orang Cina?
Rasionalkah juga apabila ada yang mahu mengusung keranda bagi memprotes PPSMI. Benarkah bahasa Melayu akan terkubur jika PPSMI diteruskan?
Rasionalnya, masih banyak mata pelajaran diajar dalam bahasa kebangsaan. Ia tidak akan terkubur. Ia mungkin menjejaskan sedikit sebanyak pembangunan bahasa kebangsaan dalam bidang Sains dan Teknologi, tapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh mencari jalan untuk mengurangkan kesannya.
Lagi pula komitmen kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dipersoalkan. Kerajaan tidak mengubah medium di sekolah kebangsaan. Bahasa Melayu masih merupakan subjek yang wajib bukan sahaja di sekolah-sekolah kerajaan, malah sekolah swasta dan antarabangsa. Majlis rasmi dan aktiviti kokurikulum terus dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan. Malah di KPM, usaha untuk memartabatkan kegiatan kebahasaan lebih banyak dilaksana dan dianjurkan berbanding jumlah kegiatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang mahu mengusung keranda tersebut!
Apa yang dikesalkan, ada pihak, terutama yang masih muda, tidak benar-benar tahu kenapa mereka perlu mengusung keranda. Saya pernah bertemu dan berbincang dengan sekumpulan anak muda yang begitu bersemangat menentang PPSMI atas dasar memperjuangkan bahasa. Malangnya apabila ditanya sama ada mereka tahu apa yang berlaku dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan di sepanjang tempoh 20 tahun ini, mereka hanya terpinga-pinga. Ada yang tidak tahu pun apa Dasar Buku Negara dan tidak pernah membaca mengenainya.
Lebih menghairankan, ada yang beriya-iya berjuang mempertahankan bahasa tetapi tidak pula mengambil endah dan menganggap jijik perjuangan mempertahankan bangsa. Apa guna perjuangan bahasa, jika sudah tiada tempat untuk perjuangan bangsa! Ikhlaskah mereka?
Tun Faisal Ismail Aziz